Penting kuasai ilmu agama dan sains

Utusan : 4hb march 2009

Oleh YULPISMAN ASLI
pengarang@utusan.com.my


KUANTAN 3 Mac - Sistem pendidikan yang menekankan kepentingan penguasaan ilmu agama dan sains berkaitan tafsiran al-Quran secara saintifik perlu diwujudkan.

Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Danial Zainal Abidin berkata, sudah tiba masanya sistem pendidikan itu diwujudkan kerana kesepaduan ilmu itu dituntut oleh agama selain mampu melonjakkan iman serta melahirkan rasa bangga umatnya terhadap Islam.

"Ia juga merupakan modal dakwah yang penting terutama dalam konteks dakwah terhadap mereka yang bukan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Konsep dan Tuntutan al-Quran di Multaqa Institusi Tahfiz Kebangsaan 2009 di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur di sini hari ini.

Multaqa itu dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Danial berkata, al- Quran dan sains tidak boleh dipisahkan kerana kitab suci itu diturunkan sebagai petunjuk mengenai kejadian alam semesta serta fenomena berkaitan.

Jelasnya, penurunan al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dan dihafal sebaliknya untuk dikaji oleh umat Islam bagi mengenali Allah melalui semua yang dijadikan-Nya.

"Golongan pengkaji dimuliakan Allah dan Dia menggelar mereka sebagai ulul albab (golongan yang memiliki kepintaran serta kefahaman sempurna lagi berintegriti tinggi sehingga mampu memahami hakikat sesuatu perkara dengan jelas)," katanya.

Danial berkata, untuk melahirkan golongan ulul albab, masyarakat perlu melahirkan insan yang menguasai al-Quran.

Katanya, kajian mengenai alam akan melahirkan insan yang mampu memahami persekitaran dan apabila dikaitkan dengan ayat al-Quran, ia mampu menghasilkan kekaguman terhadap kitab suci itu seterusnya memantapkan iman.

"Al-Quran jika dikaitkan dengan sains boleh meningkatkan iman," ujarnya.

Jelas beliau, sains ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan oleh manusia dan penemuan yang sahih tentang alam tidak akan bercanggah dengan al-Quran.

"Hal ini disebabkan al-Quran dan alam datang daripada Allah. Al-Quran diturunkan oleh Allah dan alam dijadikan oleh Allah. Kedua-duanya adalah daripada Allah.

"Justeru, hubungan antara kedua-duanya adalah suatu hubungan yang harmonis," katanya.

28 Mac 2009 Posted in | | 0 Comments »

One Responses to "Penting kuasai ilmu"

Write a comment