28 Sep 2010, 11:38 AM | Sains dan Teknologi

Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB


ASTRO TVIQ melancarkan sebuah program baru menggabungkan elemen pembelajaran sains dan hiburan, Clever! edisi Malaysia yang disasarkan kepada murid-murid sekolah rendah di negara ini.

Program yang berasal dari Jerman itu akan disiarkan pada setiap Ahad pada pukul 11 pagi bermula 26 September 2010 di rangkaian Astro TVIQ (Saluran 552) selama 13 episod.

Ketua Pendidikan Astro, Puteri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, program ini merupakan komitmen Astro untuk menggalakkan pendidikan sepanjang hayat dalam kalangan kanak-kanak bagi mengubah kaedah pendidikan sains melalui pendekatan merangkumi televisyen, laman sesawang dan acara padang.

"Program terbaru yang dihoskan oleh Aznil Nawawi dan Rafidah ini membuktikan bahawa gabungan sains dan komedi membuatkan proses pembelajaran menjadi pengalaman yang lebih menyeronokkan," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, teras Clever! adalah untuk membantu kanak-kanak belajar dan memahami sains dengan menyaksikan sendiri eksperimen yang berhubung kait dengan kehidupan seharian.

"Murid-murid akan mengetahui pelbagai jawapan bagi persoalan-persoalan sains yang berlaku dalam kehidupan seperti, mampukah telur mentah melantun?, bagaimana cara untuk menghilangkan polisterina? atau mengapakah ayam menganggukkan kepala ketika berjalan?

"Eksperimen yang dilakukan juga disahkan selamat untuk dicuba dirumah," jelasnya.

Beliau memberitahu, setiap episod program ini akan menemukan dua buah sekolah yang akan bersaing sesama sendiri untuk memberi jawapan kepada prinsip sains di sebalik fenomena tertentu.

"Aznil akan bertanyakan soalan kepada wakil sekolah yag bertanding sebelum Rafidah yang berperanan sebagai saintis memberikan jawapan berdasarkan eksperimen yang dilakukan secara langsung.

"Selebriti tempatan seperti Mila, Dafi, Yasmin Hani, Reshmonu, Imuda dan beberapa artis lagi turut akan bersama-sama membantu murid ini menjawab persoalan yang diajukan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Astro turut akan mengadakan Karnival Sains Clever! yang merupakan inisiatif menggabungkan eksperimen secara langsung dan pameran sains interaktif dalam sekolah.

Antara sekolah yang terpilih untuk karnival ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Damansara, Kuala Lumpur; SK Pinji, Ipoh, Perak; SK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor; SK Jalan Datuk Palembang, Melaka; SK Sultan Ismail 2, Kelantan; SK Seri Permai, Pulau Pinang dan sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah.

Tambah Yasmin, untuk Clever! edisi Malaysia, pihaknya bekerjasama dengan pasukan asal dari Jerman dan penerbit tempatan untuk memastikan kepakaran antarabangsa bersesuaian dengan budaya tempatan agar memudahkan proses pembelajaran dan relevan kepada kanak-kanak di negara ini.

"Selain Astro TVIQ, beberapa episod terpilih rancangan ini turut akan disiarkan di Astro Ceria (Saluran 611) dan Astro Prima (Saluran 105).

"Astro turut mendapat kerjasama dan respon menggalakkan daripada pihak Kementerian Pelajaran (KPM) seterusnya membantu melancarkan lagi aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan di sekolah-sekolah terpilih," ujarnya.

Sementara itu, Aznil berkata, beliau sangat teruja untuk mengacarakan rancangan berbentuk akademik yang merupakan satu cabaran baru baginya.

"Program ini telah mengubah persepsi saya terhadap sains dan jelas membuktikan mata pelajaran sains itu bukanlah sesuatu yang membosankan tetapi sangat menyeronokkan," katanya.

Jelasnya lagi, diharapkan rancangan ini akan mampu menarik lebih ramai lagi kanak-kanak untuk meminati sains dan mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh seterusnya dapat melahirkan lebih ramai saintis-saintis negara pada masa hadapan.

"Tiada yang kalah dalam pertandingan ini, apa yang penting ialah ilmu pengetahuan yang sangat bernilai diperolehi oleh mereka melalui proses pembelajaran yang sangat menarik dan menghiburkan ini," tambahnya.

Rancangan ini akan dapat ditonton oleh semua pelanggan Astro serta semua sekolah-sekolah kerajaan.

Laman sesawang Clever! turut membantu memberi akses kepada siaran-siaran episod terdahulu serta pelbagai aktiviti dan maklumat berguna berkenaan sains.




28/09/2010 - UTUSAN MALAYSIA


Aznil impi senator selepas bersara




Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN


TIADA siapa yang boleh menafikan bahawa Aznil Nawawi kini merupakan pengacara tempatan paling popular selepas hampir 20 tahun dia berkecimpung dalam bidang pengacaraan.


Jauh di lubuk hatinya dia bukan sahaja tidak pernah puas mengembangkan bakat yang ada, malah mahu memberi sumbangan yang lebih tinggi dalam bidang seni tanah air.


Menurut Aznil, dia sudah memasang angan-angan mahu menduduki kerusi Senator di Dewan Negara apabila bersara dari bidang seni agar pengalamannya itu boleh dikongsi bersama semua pihak.


"Buat masa ini saya akan terus bekerja keras seperti biasa tetapi suatu masa nanti selepas bersara kalau boleh saya mahu menjadi Senator di Dewan Negara seperti Tan Sri Jins Shamsudin.


"Ini adalah cita-cita tertinggi saya. Apatah lagi, sekarang ini pun usia saya sudah 48 tahun di mana biasanya orang akan bersara pada usia 55 tahun. Saya ada tujuh tahun dari sekarang.


"Kontrak saya bekerja dengan stesen penyiaran Astro pula akan tamat pada 2017 selepas saya menandatanganinya pada 2007," katanya semasa ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Pada pertemuan selepas pelancaran rancangan terbaru kendaliannya berjudul Clever! yang mula disiarkan di Astro TVIQ sejak 26 September lalu, Aznil optimis dengan impiannya.


Jelas bapa tunggal kepada Fildza Haifa, 20, Fariq Haizen, 15, dan Firdaus Hariz, 2, itu, dia memilih Senator kerana ia adalah wakil tertinggi kerajaan mewakili golongan seni di negara ini.


Selain berkongsi impiannya itu, pengacara berasal dari Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu turut ceria apabila kerjayanya semakin berkembang dalam bidang pengacaraan.


Kata Aznil, Clever! merupakan sebuah rancangan yang bukan berkonsepkan hiburan, sebaliknya ia berteraskan fakta sains dan ia julung-julung kali diacarakannya menerusi televisyen.


"Banyak fakta baru atas pembabitan saya dalam rancangan Clever! Antaranya ini adalah kemunculan pertama saya melalui saluran TVIQ dan bergandingan pula dengan Rafidah Abdullah.


"Sebelum ini, saya lebih cenderung mengacarakan rancangan-rancangan hiburan di saluran-saluran televisyen Astro yang lain. Saya anggap ini suatu pendedahan baru dalam kerjaya saya.


"Mungkin di masa akan datang saya akan mencuba mengacarakan rancangan-rancangan lain yang lebih serius seperti berkonsepkan keagamaan yang ada di Astro Oasis.


"Setakat ini pun saya sudah mula berjinak-jinak dalam rancangan Imam Muda terbitan Astro Oasis. Mungkin pada masa depan saya mengacarakan rancangan sukan pula," ujarnya.


Menerusi Clever! yang diadaptasi daripada rancangan kuiz tentang sains yang disulami dengan uji kaji dan pembabitan artis-artis popular itu, Aznil tampil dengan kelainan.


Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya itu berdepan dengan kalangan pelajar sekolah rendah yang melontarkan persoalan tentang bidang sains.


"Dalam rancangan ini, saya akan menjawab pertanyaan para peserta secara spontan, tetapi saya dibantu oleh Rafidah yang bertindak sebagai profesor dalam bidang sains.


"Bagi saya, ini adalah pengalaman baru saya sebagai pengacara dan rancangan ini sesuai ditonton bukan sahaja kanak-kanak sekolah tetapi juga orang dewasa," katanya.


Sementara itu, Ketua Pendidikan Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, bagi memeriahkan Clever! setiap episod rancangan itu akan menjemput artis-artis popular tempatan.


Clever! musim pertama dengan 13 episod dan dirakamkan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu mampu mempopularkan bidang sains di kalangan penontonnya.


"Ini adalah salah satu usaha Astro TVIQ mahu mempopularkan dunia sains bukan sahaja di kalangan pelajar sekolah tetapi juga orang dewasa. Kita mahu jadikan sains sesuatu yang menyeronokan.


"Sebab itu, kita ada kuiz dan pembabitan artis-artis jemputan pada setiap episod bagi memeriahkan lagi rancangan ini. Antaranya Mila, Dafi, Imuda, Yasmin Hani dan Reshmonu," ujarnya.


Hadir sama pada sidang akhbar rancangan yang penuh dengan keceriaan dan memberi banyak maklumat termasuklah yang terkini dalam bidang sains itu ialah Penerbit Clever!, Lina Tan.


Rancangan dalam bahasa Melayu itu disiarkan pada setiap Ahad pukul 11 pagi mulai 26 September lalu di mana mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia.


Siaran ulangan Clever! ialah pada setiap Selasa di TVIQ pukul 9 malam, malah ia turut disiarkan di saluran Astro Ceria dan Prima. Maklumat lanjut layari www.astro.com.my


24 Oktober 2010 Posted in | |