Mengenal diri sendiri : Banyak menyoal dan jawab dengan jujur

ORANG yang bijaksana berkawan dengan melupakan kepentingan dirinya, sebaliknya orang yang tamak berkawan dengan tidak melupakan kepentingan dirinya.

Persoalan besar yang perlu dijawab - adakah anda mengenali diri anda sendiri? Mengenali diri merupakan perkara pokok bagi setiap individu yang ingin berjaya.

Berjaya sebagai insan memerlukan anda berubah daripada perkara yang tidak baik kepada perkara yang lebih baik.

Perubahan yang ingin dilakukan memerlukan anda merenung sejenak tentang siapa anda.

Memikir dan menganalisis secara jujur tentang perilaku, tabiat dan keperibadian diri.

Mengenal diri sendiri boleh dicapai melalui penganalisaan yang dibuat secara ikhlas dengan niat untuk membaiki diri.

Mengenal diri tidak akan sempurna tanpa mendengar pandangan atau pendapat orang di sekeliling kita. Kesanggupan menerima kritikan, pandangan atau teguran akan dapat menjelaskan keadaan diri kita yang sebenar.

____________________________

Anda mungkin boleh bertanya:

Apakah kekuatan anda?

Apakah Kelemahan anda?

Apakah cita-cita anda?

Apakah kehendak anda?

___________________________

Proses mengenal diri tidak boleh terhenti setakat itu sahaja. Kita sering mendengar pelajar mengesahkan tentang keadaan mereka seperti:

__________________________

Saya memang pemarah!

Saya seorang yang pendiam

Muka saya sememangnya masam

Saya sukar bergaul dengan yang baru dikenali

Si bodoh tidak akan dapat melihat

Pokok yang dilihat oleh orang bijak

___________________________

Untuk berjaya - kita perlu membuang sikap negatif yang telah kita kenal pasti.

Mungkin proses ini merupakan episod yang paling sukar dalam kehidupan kita. Sememangnya satu kesilapan untuk mengaku bahawa kesemua sifat itu lahir secara semulajadi.

Banyak tabiat atau tingkah laku yang boleh diubah dengan kemahuan dan keazaman yang tinggi seperti:

1. Mengenal diri melalui orang lain

2. Bertanyakan kepada rakan yang

3. Paling rapat dengan anda

4. Amati kata-kata ibu bapa ketika

5. Mereka sedang memarahi anda

6. Dengarlah komen daripada musuh anda

7. Bertanyalah pendapat guru kelas tentang anda

Kemudian,

1. Susun dan atur maklumat yang diperolehi

2.Fikir dan tentukan kebenarannya

3.Anggaplah komen atau maklumat negatif sebagai harta yang amat berharga

Keinginan untuk berubah akan membentuk personaliti diri yang baik. Sebagai pelajar, personaliti yang berjaya biasanya berkisar kepada beberapa ciri yang unggul.

Antaranya adalah seperti berikut:

Personaliti unggul

1. Kesediaan untuk bekerja kuat

2. Kesabaran menghadapi kesukaran

3. Kesanggupan membantu rakan pelajar

4. Keupayaan memberi motivasi kepada diri sendiri

5. Kesungguhan menyiapkan tugasan dengan sempurna

Sifat-sifat ini perlu ada dalam diri individu yang ingin melangkah lebih jauh.

Pencarian tentang kekuatan dan kelemahan diri yang disusuli dengan keinginan untuk menjadi yang terbaik akan terpancar dalam jiwa pelajar yang inginkan kecemerlangan.

MODEL KEJAYAAN

Kejayaan dalam kehidupan biasanya dipengaruhi oleh seseorang yang telah berjaya.

Lihat dan kajilah kejayaan yang telah dicapai oleh pelbagai tokoh perniagaan, pemimpin dan ahli akademik.

Dalam kebanyakan kes mereka semua menunjukkan keazaman, kekuatan dan ketabahan dalam proses mengejar kejayaan.

Setiap pelajar perlu mempunyai model kejayaan. Setiap pelajar perlu mempunyai model kejayaan.

Ini boleh dilakukan dengan membaca, melihat dan mendengar cerita perihal kejayaan mereka yang telah berjaya.

Membaca buku yang menceritakan tokoh-tokoh terkenal perlulah dijadikan amalan di kalangan para pelajar.

Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah:

1. Cara dan kaedah mereka belajar

2. Bagaimana mereka mendaki tangga kejayaan

3. Dorongan yang mereka perolehi untuk menghasilkan kejayaan

4. Sifat diri yang dipamerkan oleh mereka

5. Bagaimana mereka menghadapi halangan

6. Penglihatan mereka dalam pelbagai kegiatan semasa di bangku sekolah

Bijaksana ialah puncak daripada persahabatan yang kekal

MENJADI PELAJAR YANG POSITIF

Sikap seseorang merupakan mainan minda.

Cuba bayangkan suasana yang mempunyai bilangan pelajar yang ramai. Anda terpaksa berkongsi bilik yang sempit dengan tiga rakan yang lain, makanan yang tidak sesedap masakan ibu dan lampu terpaksa dipadamkan tepat pada 11 malam.

Apakah yang boleh anda bayangkan?

Soalan yang sama telah ditanya kepada sekumpulan pelajar saya. Inilah sebahagian daripada jawapan yang telah saya terima:

1. Saya akan berhadapan dengan masalah perhubungan dengan rakan sebilik

2. Tentu saya perlukan wang lebih untuk membeli makanan di kantin

3. Saya suka bersendirian - sudah pasti saya akan berhadapan dengan tekanan

4. Saya suka mengulang kaji pelajaran selepas tengah malam, jadi jika lampu dipadamkan lebih awal saya akan menghadapi masalah untuk belajar

.

Jawapan yang diberi merupakan pandangan spontan pelajar.

Hampir kesemua pelajar memikirkan perkara yang negatif terlebih dahulu. Mereka berebut-rebut untuk menyatakan kisah yang tidak menyeronokkan.

Pandangan yang bersifat negatif. Jika minda anda telah berkata - anda akan menghadapi masalah - sebahagian besar daripada masalah itu telah mula berada di dalam diri anda.

Sikap negatif ini akan memberi kesan kepada perwatakan anda dalam menghadapi proses pembelajaran.

Memandangkan sikap seseorang itu bergantung kepada minda, anda perlu melihat sesuatu masalah atau kemungkinan masalah dari sudut yang berbeza. Bagaimana jika saya melihat kemungkinan keadaan di atas dari sudut yang lain pula, misalnya:

1. Rakan sebilik yang ramai mungkin boleh membantu saya dalam mata pelajaran yang lemah

2. Saya akan menukar masa tidur dan bangun lebih awal untuk mengulang kaji

3. Inilah peluang saya untuk menguruskan badan

4. Mungkin saya perlu menukar tingkah laku saya supaya lebih mudah bercampur dengan orang lain

.

Saya sendiri terpegun melihat bukti bagaimana besarnya peranan minda dalam kehidupan seseorang.

Sebagai contoh, ketika isteri mengandung anak kedua, hampir semua doktor yang dilawati menyatakan anak yang bakal dilahirkan adalah anak perempuan.

Sehinggakan ada doktor yang mahu bertaruh dengan saya jika anak yang bakal dilahirkan adalah lelaki.

Saya percaya - walaupun mampu disorok - isteri saya agak kecewa dengan perkhabaran tersebut kerana beliau benar-benar berkeinginan untuk menimang bayi lelaki setelah melahirkan anak perempuan.

Semasa tiba saat-saat kelahiran, saya dapat melihat beliau menahan kesakitan.

Namun semuanya hilang begitu sahaja apabila doktor menunjukkan bayi yang keluar adalah bayi lelaki. Ia bagai kuasa ajaib yang tidak mampu ditelah oleh saya.

Kenalilah diri anda dengan bertanya:

1. siapa saya?

2. Adakah saya jujur?

3. Adakah saya pemalu?

4. Adakah saya pendiam?

5. Adakah saya pemarah?

6. Adakah saya sombong?

7. Adakah saya sukar berubah?

8. Adakah saya suka kepada gosip?

9. Adakah saya inginkan kejayaan?

10. Adakah saya bertanggungjawab?

11. Adakah saya sudah berpuas hati?

12. Adakah saya inginkan kebahagiaan?

13. Adakah saya ingin jadi pemenang?

14. Adakah saya....

Bertanyalah kepada diri sendiri kerana jawapannya tersembunyi di balik pintu hati anda.

Mesej yang ingin saya sampaikan ialah tekanan, kesakitan kegembiraan, kedukaan atau penderitaan terletak di dalam minda anda.

Isteri saya hilang segala kesakitan kerana beliau lebih menumpukan kepada keseronokan mendapat bayi lelaki.

Jika tidak - mindanya akan merasai segala kesakitan yang telah dilalui semasa dan selepas melahirkan anak.

Malah mungkin lebih teruk daripada yang sepatutnya.

Begitu juga dalam dunia pelajaran. Pelajar yang bersikap positif akan sentiasa mencari jawapan kepada masalah yang mungkin timbul.

Tidak melihat masalah sebagai beban.

Banyak kajian menunjukkan terdapat kaitan antara mereka yang bersifat positif dengan pembangunan diri pelajar.

27 Mac 2009 Posted in | | 0 Comments »

One Responses to "Motivasi 2"

Write a comment